Media Relations

Newsroom

Masyarakat, pelajar hendaklah sentiasa kenang jasa guru
18 May 2005
Ibrahim Saad
PPD Kerian
http://ppdkerian.edu.my/
PELANCARAN sambutan Hari Guru 2005 peringkat kebangsaan yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, di Seremban hari ini, menyenaraikan beberapa program tambahan bertujuan menjadikan sambutan lebih berkesan dan menyeluruh.

Sambutan bermula dengan majlis prapelancaran yang disempurnakan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 10 Mei lalu di SMK Putra Jaya 1. Prapelancaran itu diadakan untuk mewujudkan suasana sambutan di kalangan orang ramai, khususnya pelajar.

Hishammuddin menggesa semua pelajar menyertai sambutan dengan pelbagai cara yang mudah dilakukan seperti mengucap ‘Selamat Hari Guru’ melalui kad ucapan, khidmat pesanan ringkas (SMS), telefon atau memberi hadiah kecil seperti bunga sebagai tanda ingatan kepada guru masing-masing. Selain itu, pelbagai acara sambutan yang diadakan pada peringkat sekolah hendaklah membabitkan semua guru dan disertai semua pelajar.

Gesaan supaya pelajar menyampaikan ucapan hari guru itu sejajar dengan kempen budi bahasa yang dilaksanakan kerajaan sekarang, khususnya berkaitan dengan amalan menghormati guru. Ibu bapa seharusnya menggalakkan anak masing-masing berbuat demikian.

“Pemupukan adab menghormati guru bermula dari rumah dan saya berharap ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka menghargai jasa guru,” kata Hishammuddin pada majlis prapelancaran di Putrajaya itu.

Selain itu, Hishammuddin berharap mulai sambutan Hari Guru kali ini, lebih banyak program membabitkan orang ramai dianjurkan mencakupi peringkat kebangsaan, negeri, daerah dan sekolah.

Oleh itu, usaha meluaskan skop sambutan Hari Guru perlu diberi sokongan dan mendapat perhatian. Sambutan Hari Guru pada peringkat sekolah misalnya tidak seharusnya di kalangan guru saja, tetapi membabitkan orang ramai, khususnya ibu bapa, kerana semua orang mempunyai kaitan dengan guru, iaitu ketika melalui proses persekolahan. Walau apapun kerjaya yang disandang oleh seseorang, dia terlebih dulu mendapat bimbingan guru di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Orang ramai boleh terbabit dengan sambutan Hari Guru secara individu dan inisiatif sendiri untuk mengingat guru. Bagaimanakah caranya? Cuba kenangkan kembali masa persekolahan masing-masing. Tentu ada beberapa guru yang paling kita ingat walaupun sudah lama meninggalkan alam persekolahan. Seseorang guru itu diingati mungkin kerana cara pengajarannya yang menarik dan berkesan, sifatnya yang penyayang dan mesra.

Mungkin juga anda mengingati seseorang guru kerana sifatnya yang garang, tetapi kerana kegarangan guru itulah menyebabkan anda mengubah sikap terhadap pelajaran. Mungkin anda mempunyai sebab lain yang hanya anda sendiri mengetahui. Apakah guru itu pernah dihubungi setelah meninggalkan persekolahan?

Alangkah baiknya jika untuk sambutan Hari Guru kali ini, setiap pembaca rencana ini mengambil sedikit masa untuk mengesan sekurang-kurangnya tiga guru yang paling diingati dan menghubungi mereka melalui telefon atau setidak-tidaknya melalui SMS untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’.

Pelbagai reaksi akan diterima apabila anda menghubungi guru yang telah dilupakan itu. Ia adalah satu peristiwa dan penghargaan yang tidak disangka oleh guru berkenaan. Mungkin ada air mata dan tangisan ketika seseorang guru dihubungi.

Barangkali ada reaksi menarik yang boleh dikongsi bersama dengan pembaca lain untuk disiarkan dalam akhbar ini.

Pada sambutan Hari Guru tahun ini kita mendapati ada pembabitan sektor swasta bagi menjayakan sambutan. Pembabitan Time Engineering, Microsoft Malaysia, Prestariang Technology dan Intel Malaysia dalam sambutan kali ini dengan menyediakan video klip ‘Tanpa Guru Siapalah Kita’ dan perkhidmatan SMS adalah contoh pembabitan pihak luar lingkungan guru dalam menjayakan sambutan Hari Guru.

Kerjasama sebegini boleh dilaksanakan pada peringkat bawah, iaitu daripada peringkat negeri membawa kepada peringkat sekolah. Pihak swasta, agensi kerajaan, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh memikirkan program menjayakan sambutan Hari Guru pada peringkat masing-masing.

“Langkah itu adalah sebagai meningkatkan rasa hormat masyarakat kepada kerjaya perguruan dan selari dengan matlamat kerajaan memartabatkan golongan pendidik,” kata Hishammuddin.

Pelbagai program boleh dianjurkan berdasarkan kesesuaian masing-masing. Semuanya akan memberi kesan positif kepada guru kerana jasa dan sumbangan mereka mendapat pengiktirafan dan penghargaan orang ramai, di samping menjalin hubungan akrab di antara guru dan orang ramai.

Hubungan yang rapat dan mesra ini akan meningkatkan iklim pembelajaran yang kondusif yang faedahnya akan dinikmati pelajar.

Ibu bapa pula wajar terbabit dalam sambutan Hari Guru, khususnya untuk guru anak masing-masing sama ada guru kelas atau guru mata pelajaran. Gunakan kesempatan ini untuk mengenali guru anak anda dengan lebih dekat. Jangan jadikan kedudukan, pangkat dan kekayaan yang dimiliki sebagai penghalang untuk menghormati guru.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,
jika hari ini seorang Raja menaiki takhta,
jika hari ini seorang Presiden sebuah negara,
jika hari ini seorang ulama mulia,
jika hari ini seorang peguam yang menang bicara,
jika hari ini seorang penulis terkemuka,
jika hari ini siapa saja menjadi dewasa,
sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,
dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
– Petikan sajak ‘Guru O Guru’ oleh Datuk Usman Awang.

Bagi sesetengah ibu bapa yang bersikap memusuhi atau memandang rendah terhadap guru, eloklah mengubah sikap dan jadikan sambutan Hari Guru tahun ini sebagai titik-tolak ke arah kebaikan. Sikap seperti sentiasa mencari kesalahan guru, seharusnya tidak menjadi amalan terutama di kalangan ibu bapa terpelajar. Tetapi, saranan ini bukanlah bermakna guru tidak boleh ditegur jika melakukan kesilapan.

Dalam pada itu, pihak yang menganjurkan Hari Guru hendaklah juga memikirkan pembabitan orang ramai apabila merangka program pada peringkat masing-masing. Jika program yang dianjur hanya terhad kepada guru, dikhuatiri mesej sambutan tidak sampai kepada orang ramai dan guru hanya seronok sesama sendiri apabila mengadakan sambutan.

Orang ramai sudah tentu akan memberi sambutan jika ada program yang mengundang penyertaan mereka disediakan. Malah, mungkin ada di antaranya yang boleh memberi kerjasama dan bantuan yang diperlukan bagi menjayakan sesuatu program.

Hari Guru juga boleh dijadikan ukuran oleh guru untuk menilai tahap profesionalisme masing-masing. Ini dapat dikesan melalui penghargaan yang diberi pelajar atau ibu bapa. Guru yang dekat di hati pelajar akan mendapat kad ucapan, SMS atau hadiah yang banyak di sepanjang sambutan berbanding guru lain.

Mereka termasuklah guru yang melaksanakan pengajaran yang berkesan di dalam kelas. Guru yang mengajar dengan sempurna, dedikasi dan inovatif. Guru sedemikian akan mendapat tempat di hati pelajar. Justeru, mereka mendapat penghargaan daripada ramai pelajar. Mereka adalah guru popular.

Bagaimanapun, ada juga guru yang baik mengajar tetapi kurang diminati barangkali kerana sifatnya yang garang dan tegas. Guru sedemikian tidak seharusnya berkecil hati. Biasanya mereka akan mendapat pengiktirafan secara lain pula seperti anugerah kecemerlangan perkhidmatan.

Sementara itu, tidak dinafikan akan adanya satu lagi kategori guru yang rendah tahap profesionalisme dan kurang berkualiti. Antara sikap yang mereka miliki termasuklah selalu ponteng, tidak kreatif ketika mengajar dan tidak mendekati pelajar. Walaupun jumlahnya tidak ramai dalam sesebuah sekolah, mereka adalah duri dalam daging dalam perkhidmatan perguruan.

Kita berharap guru daripada kategori ini akan mengambil iktibar sempena Hari Guru tahun ini. Jadikanlah tahap pengiktirafan dan penghargaan daripada pelajar dan ibu bapa itu untuk muhasabah diri sejajar dengan tema Hari Guru tahun ini ‘Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan’.





Hits : 720 [ Back ]
INVESTOR RELATIONS
TRAININGS & CERTIFICATIONS
QUICK LINKS

Copyright © 2003- 2019 Prestariang. All Rights Reserved.
All trademarks referenced herein are the properties of their respective owners.
Terms and Conditions of Use

Total Visitor :